RSS

Treler Muatan Rempah kari terbakar lapan jam



BEHRANG: Sekumpulan 10 anggota bomba dan penyelamat ‘diuji’ lebih lapan jam apabila dipaksa bertungkus-lumus memadam kebakaran sebuah treler bermuatan serbuk kari, di sini, malam kelmarin.
Lebih menyukarkan, anggota berkenaan terpaksa berdepan beberapa kesulitan apabila rempah kari seberat 17 tan milik sebuah syarikat rempah ratus terkemuka negara itu sukar dipadam dengan air selain serbuk kari berkenaan berterbangan di ruang udara dan memasuki mata serta bau kari yang mengganggu pernafasan.

Kesukaran itu menyebabkan usaha memadam kebakaran gagal dikawal sehingga ia mengambil masa lebih lapan jam untuk dipadam sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam di Kilometer 386.9 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah utara itu, treler berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Selayang, Selangor menuju ke Ipoh sebelum tayar belakang kenderaan itu meletup dan terbakar.

Bagaimanapun, pemandu treler terbabit berjaya memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum memisahkan kepala treler dengan muatan bagi mengelak kebakaran lebih teruk.


Difahamkan, api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi semalam, namun beberapa petugas Plus masih membersihkan kawasan berkenaan termasuk memindahkan serbuk kari itu ke dalam lori dan berjaya dipindahkan sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang.



Anggota bomba juga terpaksa berulang-alik lebih 10 kali bagi mendapatkan bekalan air mencukupi bagi memadam kebakaran itu sebelum ia dapat dikawal.

Kelindan treler berkenaan, S Rammurthy, 29, berkata dia dan pemandu dikenali P Mohandass, 22, terpaksa memberhentikan kenderaan selepas dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah belakang lori sebelum mendapati bahagian tayar terbakar dan merebak ke muatan.


Menurutnya, tanpa membuang masa, dia memisahkan kepala treler dan menghubungi bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.

“Sebelum bomba tiba, kami cuba memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api yang dibawa, tetapi tidak berjaya mengawal keadaan berikutan api marak dengan cepat.


“Usaha itu turut dibantu beberapa pemandu lori lain serta pengguna jalan raya yang prihatin dengan kejadian itu, namun tetap gagal dipadam dan sukar dikawal,” katanya ketika ditemui selepas kejadian itu.


Katanya, dia bersyukur kerana dapat menyelamatkan diri, namun mengakui trauma dengan kejadian itu kerana ia hampir meragut nyawanya serta rakan sekerjanya itu.


Rammurthy berkata, dia bersama Mohandass memulakan perjalanan kira-kira jam 9.00 malam dari Selayang dan tidak menyangka akan terbabit dengan kejadian itu.


Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Tanjung Malim ketika dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan 11.15 malam kelmarin sebelum tiba di lokasi kejadian 11.35 bersama jentera termasuk lima anggota dari balai bomba dan penyelamat Slim River.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors