RSS

Umar Patek Mengaku Memasang Bom Ketika Pengeboman Bali 2002


 
JAKARTA: Polis Indonesia semalam berkata, suspek yang didakwa bertanggungjawab dalam pengeboman Bali pada 2002 sudah menjelaskan cara dia memasang bom dan menyerahkan suis kepada seorang rakan.

Umar Patek bekerjasama dengan polis sejak tiba di Jakarta setelah diekstradisi dari Pakistan, tempat dia ditahan di bandar yang sama Osama bin Laden dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat.

Dia mengaku membantu memasang bom untuk serangan di Bali dan bekerjasama dengan Azahari.

“Suis itu diserahkan kepada Azahari,” kata jurucakap polis, Bachrul Alam. Azahari, militan warga Malaysia, ditembak mati pada 2005 oleh polis Indonesia ketika kempen memburu anggota rangkaian Jemaah Islamiah yang bertanggungjawab terhadap pengeboman Bali.

Seramai 202 orang, kebanyakannya pelancong Barat, terbunuh dalam serangan itu.

Bachrul berkata, Umar juga mengaku melakukan beberapa siri serangan terhadap gereja di Indonesia sehari sebelum Krismas pada 2000 yang menyebabkan 19 orang maut.

Selepas serangan di Bali dua tahun kemudian, yang meletakkan Indonesia di barisan depan dalam ‘perang terhadap keganasan’ dan mencetuskan gerakan memburu besar-besaran, Umar melarikan diri ke Filipina.

Dia juga dikehendaki di Filipina, tempat dia didakwa merancang serangan bersama-sama kumpulan militan.

Dia kembali ke negara asalnya pada 2009 untuk menyertai Dulmatin, seorang lagi suspek pengeboman Bali, yang menubuhkan kumpulan Al-Qaeda di Aceh ketika itu.

Polis menembak mati Dulmatin tidak lama selepas itu.

“Umar mengetahui apa yang berlaku di Aceh. Kami berharap dengan adanya dia di sini, kami dapat menjejaki mereka yang terbabit dalam rangkaian itu supaya kami boleh memburu mereka,” kata Bachrul.

Umar, 41, mungkin tidak didakwa mengikut undang-undang antikeganasan kerana dia melakukan jenayah itu sebelum ia dikuatkuasakan.

Namun, dia tetap boleh dihukum mati kerana kerana menyebabkan jumlah kematian yang banyak. — AFP



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors