RSS

Ops Sikap Tukar Nama


Ops Sikap yang dilaksanakan setiap musim cuti perayaan kini diberi nama baru bermula Aidilfitri tahun ini bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran pengguna jalan raya, sekali gus menurunkan kadar kemalangan dan kematian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, imej dan pendekatan baru kempen keselamatan menjelang perayaan itu perlu dilakukan kerana kadar kemalangan masih tinggi setiap kali musim perayaan dan nama baru operasi berkenaan dijangka diumum serta dilancarkan Isnin depan.

Menurutnya, operasi yang diperbaharui itu nanti lebih menekankan kaedah anggota polis memberi peringatan kepada pemandu dengan pendekatan lebih mesra. “Kita nak kurangkan kemalangan jalan raya dan pengalaman serta pemerhatian melalui Ops Sikap terdahulu, kita dapati kebanyakan kemalangan berlaku kerana sikap pemandu itu sendiri seperti tidak cukup tidur, pandu laju dan tidak hirau keselamatan diri serta pengguna jalan lain.

“Dalam Ops Sikap sebelum ini, kita lihat kadar kemalangan masih tinggi dan justeru itu tahun ini, saya mengarahkan supaya kajian serta perbincangan bagi mencari kaedah baru untuk memantau keselamatan jalan raya dan kami akan lebih komited mengurangkan kemalangan serta kematian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Hari Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2011, di Bukit Aman, semalam.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bungkusan berisi kuih raya untuk diagihkan kepada lebih 10,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas pada Aidilfitri nanti.

Ismail berkata, operasi itu tidak jauh berbeza dengan Ops Sikap sebelum ini, namun ia memberi penekanan lebih mesra terhadap pengguna jalan raya termasuk memberi peringatan kepada pemandu dengan menahan kenderaan di kawasan tertentu untuk melakukan pemeriksaan selain memberi peluang mereka berehat. “Pemandu terutama bas yang membawa penumpang ditahan sekejap di kawasan sesuai untuk pemeriksaan biasa, bukan untuk diperiksa sangat pun, tetapi untuk beri mereka masa berehat sebentar. Kaedah ini nampak macam mudah dan biasa saja, tapi saya rasa ia boleh memberi kesan baik. “Kaedah ini lebih kepada konsep mesra dengan pemandu dan kita juga nak kurangkan sekatan jalan raya bagi melancarkan lalu lintas supaya orang ramai dapat beraya dengan selesa,” katanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors