RSS

Bendera Menghiasi Restoran


Demi semangat patriotisme yang menebal dalam dirinya, seorang pesara tentera menghabiskan ribuan ringgit setiap tahun menghias restorannya dengan Jalur Gemilang sejak 10 tahun lalu.

Abdullah Ahmad, 64, yang juga bekas tukang masak turut mewarnakan tembok restoran yang terletak di Kampung Hutan Gelam, Tikam Batu, di sini, dengan corak dan warna Jalur Gemilang, malah rumahnya juga turut dihiasi dengan warna dan bendera kebanggaan negara.

Abdullah yang berasal dari Tangga Batu, Melaka, berkata, sebagai insan yang dilahirkan sebelum negara merdeka, kecintaannya kepada negara begitu tinggi kerana pernah merasai pahit maung kehidupan lalu.

Menurutnya, hatinya akan menjadi resah jika tidak memasang atau menghiasi restorannya dengan warna dan corak Jalur Gemilang setiap kali tibanya Ogos kerana bulan terbabit istimewa.

“Apa yang diharungi kedua ibu bapa saya di bawah pemerintahan asing sukar dan perit. Saya sempat merasainya walaupun masih kecil, sekali gus menyebabkan perasaan cinta kepada tanah air sentiasa tersemat di hati.

“Justeru, saya akan memastikan setiap penjuru restoran ini dihiasi Jalur Gemilang sepanjang Ogos kerana hati akan rasa begitu puas dan bangga apabila bendera berkibar megah apabila ditiup angin.

“Sempena sambutan kemerdekaan ke-54 ini, saya membelanjakan sejumlah wang bagi membeli cat dan lebih 200 Jalur Gemilang. Kerja mengecat dilakukan sejak Julai lalu bersama anak, Zulkifli, 45,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdullah berkata, dia tidak kisah wang yang dibelanjakan bagi membeli bendera dan cat untuk menghias restoran termasuk rumahnya dengan Jalur Gemilang kerana berbangga dengan kemerdekaan dicapai negara.

Menurutnya, jika seseorang tidak menghargai kemerdekaan, ia bermakna mereka tidak mensyukuri keamanan yang dinikmati.

“Saya berharap orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, dan kita perlu berbangga berbuat demikian sempena kemerdekaan negara Ke-54.

“Namun, saya sedih dan kesal kerana masih ada pihak mempertikaikan usaha saya dengan mengatakan negara ini tidak mencapai kemerdekaan dan mereka seperti tidak pernah bersyukur dengan nikmat diperoleh sebelum ini,” katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors