RSS

Lan teruja nak jadi bapa | Lan Bakal jadi bapa


BERCAMPUR baur, bergulir rasa antara teruja dan takut, intuisi itu pasti akan dialami buat setiap individu yang bakal menjengah ke fasa baharu dalam kehidupan menyandang panggilan seorang bapa.

Begitu juga yang dirasa vokalis kumpulan Azlan And The Typewriter, Norazlan Rosle atau lebih mesra disapa Lan, 28 yang kini menanti detik istimewa itu.

Isterinya, Normala Hassan, 28, kini sudah enam bulan mengecapi kebahagiaan mengandungkan anak sulung pasangan itu setelah selamat melangsungkan perkahwinan pada awal bulan Januari lalu.

Bagi Lan sendiri, cabaran dan nikmat berdepan dengan pelbagai situasi menyambut kelahiran anak pertamanya tidak tergambar dengan kata-kata.

“Syukur Alhamdulillah, kandungan isteri saya kini sudah berusia enam bulan dan setakat ini tiada sebarang komplikasi.

“Perasaan? Goyang ada, takut dan suka bercampur-campur, ibarat kata orang rosak bapa rosaklah anak,” ceritanya ceria ketika pertemuan ringkas usai majlis perasmian Konsert Suara Kami di Kelab Zouk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertama kali mendapat berita gembira itu, kata Lan, tiada kata-kata boleh diucapkan.

Tambah Lan, kandungan isterinya sudah diimbas menerusi mesin ultrasound dan 80 peratus hasil analisis mendapati kebarangkalian pasangan itu bakal menimang cahaya mata perempuan.

“Kami sudah pergi scan dan kata doktor bayi itu adalah bayi perempuan dan Insya-Allah tarikh jangka kelahiran pada 2 Januari 2012,” luah Lan bersulam senyum.

Berdepan dengan cabaran mendidik anak pada zaman serba canggih ini, ujar Lan itu antara cabaran terhebat buatnya.

“Apa yang dibimbangkan adalah didikan ketika anak meningkat dewasa, tahu sajalah sekarang ini cabaran dunia moden tidak sama seperti zaman saya kecil-kecil dulu,” katanya.

Isteri mengidam bukan perkara asing buat pasangan yang pertama kali menimang cahaya mata. Cerita Lan, isterinya juga tidak lari daripada mengidam makanan yang pelik-pelik.

“Pernah sekali dia mengidam mahu makan bihun Singapura, merata-rata saya mencari, mujur juga waktu itu ada kedai masih buka kalau tidak naik buntu kepala hendak mencari menu itu,” getusnya yang juga berdepan dengan sikap isterinya yang lebih banyak membebel berbanding biasa.

Bagaimanapun, segala persiapan menyambut kelahiran bayi perempuannya belum lagi dilaksanakan dan kemungkinan akan dibereskan dalam tempoh dua bulan.
LAN kini sedang sibuk menyiapkan single terbaharu Azlan & The Typewriter.
LAN mengakui anak sulungnya berkemungkinan besar perempuan.

Album baru

Dalam pada itu, di samping kesibukannya melengkapkan diri bergelar seorang bapa, kariernya juga masih berjalan seiring dengan kehidupan peribadi.

“Buat masa sekarang, saya hanya meluangkan masa di dalam studio untuk menyiapkan single baharu dan sedang menyelesaikan urusan membuka studio rakaman dan jamming baharu di Jalan Gurney, Kuala Lumpur,” ujarnya.

Ditanya bila agaknya album kumpulannya yang sudah siap dirakam diedarkan kepada peminat setianya, kata Lan, ia hanya menunggu masa yang sesuai.

“Single daripada album itu belum kami pilih lagi dan rasanya kebanyakan lagu di dalamnya tidak sesuai dengan zaman sekarang, jadi lebih elok kami tangguh dulu,” katanya yang kini bereksperimen dengan muzik elektro dan pop untuk album kedua kumpulannya.

Berbalik kepada kisahnya membuka studio rakaman dan jamming baharu di Jalan Gurney, selain sedang mengubah suai interior dan exterior rumah lama itu, dia juga sedang mencari ilham untuk memberikan nafas terkini kepada premis itu.
LAN mengakui anak sulungnya berkemungkinan besar perempuan.
“Setelah siap kelak, studio itu boleh disewa dan digunakan untuk penggambaran filem atau drama, dalam studio itu juga menempatkan bilik khas untuk penggunanya tidur dan berehat termasuk semua kemudahan lengkap seperti TV dan penyaman udara,” katanya yang memperoleh sendiri idea dan konsep studio berharga RM500,000 itu.

Selain itu, studio yang terletak di banglo setingkat itu juga boleh menempatkan ruang parkir untuk 30 buah kereta dan pastinya akan diuruskannya sendiri.

“Saya sebenarnya sudah lama mengintai peluang untuk membina sebuah studio sendiri dan untuk menguruskan studio itu saya tidak akan sesekali melibatkan isteri atau keluarga saya,” tegasnya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Return to top of page Copyright © 2010 | Flash News Converted into Blogger Template by HackTutors